Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Seorang wanita mengalami kerugian sebanyak RM70,000 selepas terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa dia terlibat dalam kes penggubahan wang haram.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, kes tersebut bermula apabila mangsa, berusia 55 tahun, menerima panggilan telefon pada 18 September lalu.
“Panggilan tersebut kemudian disambungkan ke Balai Polis Ampang dan mangsa diberitahu bahawa dia terlibat dalam kes penggubahan wang haram.
“Mangsa diminta untuk mendaftarkan nombor telefon yang diberikan suspek atas akaunnya untuk tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Namun, katanya, apabila mangsa melakukan semakan akaun miliknya kelmarin, beliau mendapati wang simpanan sudah berkurangan.
Menurut Roslan, wanita berkenaan segera menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan dan membuat laporan polis.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan penyamaran dalam talian.
“Orang ramai diseru membuat semakan terlebih dahulu atas sesuatu panggilan sebagai langkah berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” tambahnya.
Baca juga: