Hukuman Sebat, Orang Ramai Dilarang Rakam

PETALING JAYA: Sebarang bentuk rakaman tidak dibenarkan ketika proses hukuman sebat ke atas seorang tukang rumah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu pada Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kira-kira 40 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di masjid berkenaan untuk mengawal keselamatan serta kelancaran proses hukuman tersebut.

“Ia sebagai langkah berjaga-jaga akan sebarang kemungkinan berlaku provokasi atau tindakan melampaui batasan undang-undang bagi mengganggu pelaksanaan hukuman itu nanti.

“Sebarang rakaman adalah tidak dibenarkan. Pihak polis akan membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada alatan elektronik atau telekomunikasi dibawa masuk ke ruangan tempat hukuman itu dilaksanakan.

“Saya memohon semua pihak menghormati undang-undang dan tidak melakukan kekacauan,” katanya memetik laporan media tempatan.

Azli juga memaklumkan bahawa hanya 70 individu akan dibenarkan memasuki ruangan tempat hukuman sebat itu dijalankan.

Beliau berkata, jemaah yang hadir di masjid berkenaan dinasihatkan beredar segera setelah selesai menunaikan solat Jumaat pada hari itu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu yang akan menjalani hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.

Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Selain enam sebatan, tertuduh juga dihukum denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu.

Hukuman sebatan ke atas tertuduh sepatutnya dilaksanakan pada 6 Disember lalu, namun ditangguhkan susulan permohonan semakan yang difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat