DAMSYIK: Protes besar-besaran berlaku di kawasan kejiranan Kristian di ibu kota Syria, di sini, pada Selasa selepas video pembakaran pokok Krismas buatan tersebar dalam talian.
Beratus-ratus penduduk berarak membawa salib kayu dan melaungkan slogan menentang perpecahan sektarian.
Protes itu bermula selepas rakaman video menunjukkan api menyambar pokok Krismas buatan di bandar Al-Suqaylabiyah, berhampiran Hama tersebar pada Isnin.
Dalam rakaman yang disahkan oleh The New York Times, beberapa lelaki bertopeng dilihat berdiri di sekitar pokok tersebut.
Motif dan dalang di sebalik pembakaran masih belum jelas.
Kejatuhan diktator lama Syria, Bashar al-Assad oleh kumpulan pemberontak Islamis bulan ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat minoriti di Syria termasuk Kristian, Druse dan Alawite.
Namun, pemberontak baru yang berkuasa telah berulang kali memberi jaminan kepada kumpulan minoriti bahawa mereka akan dilindungi.
Kerajaan baru Syria belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai pembakaran pokok atau protes tersebut.
Observatorium Hak Asasi Manusia Syria, sebuah badan pemantau yang berpusat di Britain yang telah lama memantau konflik di Syria, menyalahkan pejuang asing atas insiden pembakaran pokok Krismas dan menyatakan bahawa mereka telah ditangkap.
Ribuan pejuang asing telah memasuki Syria selama perang saudara 13 tahun yang menarik banyak kuasa luar. Ramai antara mereka menyertai kumpulan pemberontak yang menentang rejim Assad.
Badan pemantau itu juga melaporkan beberapa serangan lain dalam beberapa hari kebelakangan ini terhadap kumpulan minoriti Syria termasuk tembakan di Gereja Ortodoks Yunani di Hama.
Kumpulan itu turut menyatakan bahawa tempat suci milik sekta Alawite juga telah diserang. Ahli keluarga Assad adalah Alawite dan golongan itu diberi keistimewaan di bawah pemerintahan mereka.