Anwar kenang jasa Dr Manmohan Singh

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan kesedihan atas pemergian sahabatnya yang dihormati, Dr Manmohan Singh.

Dalam satu hantaran yang penuh emosi di Facebook miliknya, Anwar mengenang jasa Dr Manmohan sebagai arkitek reformasi ekonomi India dan peranannya sebagai Perdana Menteri yang membawa India menjadi salah satu gergasi ekonomi dunia.

Anwar berkongsi pengalaman peribadinya ketika mereka berdua berkhidmat sebagai Menteri Kewangan pada tahun 1990-an, di mana mereka bersama-sama berjuang menentang rasuah.

Anwar juga mendedahkan kebaikan hati Dr Manmohan yang tidak diketahui ramai, di mana beliau menawarkan biasiswa untuk anak Anwar, Ihsan Anwar semasa beliau dipenjarakan, walaupun tawaran itu ditolak.

“Semasa hari-hari gelap saya, ketika saya menavigasi labirin (jalan yang berselirat) di penjara, beliau berdiri di sisi saya sebagai seorang sahabat sejati.

“Tindakan-tindakan kebaikan yang tenang ini mendefinisikan beliau dan akan kekal terukir dalam hati saya selama-lamanya,” kata Anwar.

Anwar menutup kenyataannya dengan ucapan selamat tinggal yang penuh emosi kepada sahabatnya, “Selamat tinggal, mitra, my bhai, Manmohan.”, katanya.

Anda Mungkin Berminat