Hannah Yeoh fail rayuan kes saman fitnah Musa Hassan

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 26 Disember 2024 selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnahnya terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Disember 2024 itu mengecewakan Hannah, namun beliau menghormati proses kehakiman dan telah mengarahkan peguamcaranya untuk memohon agar rayuan itu didengar dengan kadar segera.

Menurut Hannah, alasan penghakiman bertulis penuh belum dikemukakan oleh Mahkamah Tinggi dan hanya alasan ringkas yang disenaraikan melalui sistem ‘e-review’ mahkamah pada 23 Disember 2024.

“Adalah tidak wajar untuk membuat kesimpulan tentang keputusan Mahkamah Tinggi secara keseluruhannya pada peringkat ini beserta alasan-alasannya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Hannah berkata, terdapat banyak mesej dan video di WhatsApp yang mempolitikkan keputusan itu dan mendakwa beliau berhasrat untuk memurtadkan orang Muslim atau menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.

“Ini tidak benar sama sekali. Saya menghormati dan mendukung Perlembagaan Persekutuan serta kedudukan Islam sebagai agama persekutuan,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak untuk menghormati proses kehakiman dan memastikan bahawa mereka tidak melakukan apa-apa yang melanggar undang-undang atau menjejaskan haknya di hadapan Mahkamah.

Hannah juga akan membuat laporan polis terhadap video dan mesej berniat jahat yang mampu menjejaskan rayuannya.

Kes saman fitnah ini bermula apabila Musa Hassan membuat kenyataan semasa forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun 2020 dengan mendakwa Hannah menulis buku untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian dan mempunyai kaitan dengan evangelis dan Yahudi untuk merosakkan negara.

Mahkamah Tinggi menolak saman tersebut kerana mendapati bahawa kenyataan Musa tidak bersifat fitnah dan beliau mempunyai alasan yang munasabah untuk membuat kenyataan tersebut.

Anda Mungkin Berminat