Pemuda BN ajak Adam Adli sertai himpunan solidariti Najib

PETALING JAYA: Pemuda Barisan Nasional (BN) mengajak Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim untuk menyertai perhimpunan solidariti buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin depan.

Pengarah Komunikasinya, Neow Choo Seong berkata, Adam Adli sebelum ini cukup dikenali dan disanjungi anak-anak muda kerana memperjuangkan reformasi keadilan dan menentang kezaliman.

“Beliau juga mempunyai pengalaman luas mengetuai beberapa siri demonstrasi jalanan suatu ketika dahulu.

“Maka, Pemuda BN ingin menjemput dan berharap Adam Adli dapat hadir bersama kami untuk menuntut keadilan dalam sistem perundangan negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Choo Seong berkata, himpunan solidariti itu juga selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Disember lalu yang menyifatkan bahawa, terdapat kelemahan dalam beberapa kes pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana dilakukan secara tergesa-gesa serta didorong oleh kebencian, permusuhan dan dendam politik.

Sehubungan itu, atas keikhlasan dan semangat Kerajaan Perpaduan, Choo Seong berkata, wajar supaya AMK dan sayap pemuda Pakatan Harapan (PH) dapat bersama-sama dengan Pemuda BN dalam perhimpunan aman kali ini.

“Jangan lupa bagaimana kediaman Najib digeledah pada malam pertama Ramadan 2018.

“Sebagai barisan pemimpin pelapis, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan keadilan sistem perundangan negara dan menghentikan amalan dendam politik yang bukan sahaja merugikan rakyat tetapi juga membazir sumber negara serta mencemarkan kemuliaan institusi kehakiman di negara kita,” katanya.

Sementara itu, Choo Seong berkata, tiada keperluan untuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh untuk menarik balik kenyataan berhubung pengampunan diraja ke atas Anwar.

Choo Seong menegaskan, apa yang dinyatakan Dr Muhamad Akmal itu hanyalah bersifat pertanyaan untuk mendapatkan penjelasan sejurus selepas kenyataan Jabatan Peguam Negara, Sabtu lalu berhubung isu pengampunan diraja.

Pada Ahad, Adam Adli menggesa supaya Dr Muhamad Akmal menarik balik kenyataan yang disifatkannya mempertikaikan pengampunan diraja ke atas Anwar.

Adam Adli berkata, pengurniaan pengampunan bukan keputusan yang dilakukan sewenang-wenangnya mengikut desakan politik, namun dilindungi mekanisme yang ditetapkan undang-undang dan perlembagaan.

Adam Adli turut mengingatkan Dr Muhammad Akmal bahawa, Najib didakwa dan disabitkan kesalahan pada zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini, Najib dilapor perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.

Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan, berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi pengampunan, menunda dan melegakan hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Menurut kenyataan terbabit, Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan pula antara lain memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.

Susulan itu, Akmal memberi respons ringkas dengan mengatakan perkara tersebut sudah boleh dijangka.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat