Timbalan Ketua Bersatu Sabah keluar parti demi GRS

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Aksyah Nasrah hari ini meletakkan jawatan untuk menyertai parti tempatan, Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Memetik Sabah Info, Aksyah berkata peletakkan jawatannya itu berkuat kuasa hari ini.

“Saya ingin mengumumkan bahawa saya telah meletakkan semua jawatan dalam parti BERSATU dan mengisytiharkan keluar daripada parti itu berkuatkuasa serta merta.

“Saya telah menghantar surat perletakan jawatan kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee bertarikh 28 Disember lepas dan salinan surat kepada Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung BERSATU.

“Peletakan jawatan ini dibuat atas keputusan saya sendiri dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa pun,” katanya.

Selara dengan kenyataan tersebut, beliau turut menyokong tindakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam memperjuangkan GRS mempertahankan hak dan kepentingan Sabah.

“Slogan ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ merupakan satu naratif tepat dalam memastikan Sabah dipimpin dan diurus oleh kepimpinan parti tempatan tanpa menafikan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan.

“Melalui penyatuan dan gabungan semua parti-parti tempatan, yang mewakili majoriti rakyat Sabah, saya yakin dan percaya Hajiji dan GRS mampu membawa negeri Sabah lebih maju.

“Apa guna kita berpecah? Hajiji berniat baik satu padukan kita semua. Ini masa terbaik kita majukan negeri kita yang tercinta melalui GRS.

“Kita beri mandat penuh kepada GRS dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17). Saya juga akan turut serta membantu Hajiji dan GRS pada PRN17 ini.” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat