Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Penganjuran Himpunan Bangkit Ummah pada Jumaat ini berpotensi memanipulasi isu agama demi kepentingan politik sempit.
Meskipun menghormati hak rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan, namun Ashraf Ahmad Hadi tidak menolak kemungkinan himpunan itu juga akan membangkitkan ‘culture of fear’ dan memainkan sentimen agama dengan cara yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu berkata, umat Islam diajar untuk berdakwah dengan hikmah, bijaksana dan menekankan pendekatan rasional, aman serta inklusif dalam menyampaikan mesej.
“Malangnya, naratif yang ditiupkan oleh penganjuran seperti ini bukan sahaja gagal menyelesaikan isu sebenar, sebaliknya akan mencemarkan imej Islam sebagai agama yang membawa rahmat kepada semua.
“Hakikat sebenar pada waktu ini, perjuangan Islam seharusnya lebih tertumpu kepada memperkukuhkan umat dengan meningkatkan taraf hidup, membaiki sistem pendidikan, memacu pembangunan ekonomi dan menyatukan masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Ashraf menyeru semua pihak untuk menolak sebarang usaha memanipulasi agama demi kepentingan politik yang sempit.
Sebaliknya, beliau mengajak orang ramai untuk memberi fokus kepada isu yang membawa kebaikan bersama.
“…kita juga perlu memperkukuh keharmonian masyarakat serta keadilan kepada semua tanpa meminggirkan mana-mana pihak,” katanya.
Himpunan Bangkit Ummah dijangka berlangsung di Masjid Jamek, Kampung Bharu dekat ibu negara Jumaat ini.
Difahamkan, himpunan itu berkaitan isu penerbitan buku berjudul ‘Becoming Hannah’ yang ditulis pemimpin DAP, Hannah Yeoh.
Buku tersebut dipercayai mengandungi unsur penyebaran agama Kristian secara halus pada 2014.
Malah, himpunan tersebut dipercayai dianjurkan bagi membantah tindakan seorang lagi pemimpin DAP, Nga Kor Ming berhubung video Hari Krismas yang berlangsung di premis kementerian.
Baca juga: