Oleh: Kamilia Ali
KUANTAN: Kerajaan MADANI terus bekerja keras pada tahun ini untuk menjamin keselesaan dan kesejahteraan rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkongsi tentang lawatan Setiausaha Politiknya, Datuk Ahmad Farhan Fauzi ke Balai Polis Beserah, di mana kerja baik pulih dan penaiktarafan telah dimulakan pada bulan Oktober tahun lalu.
Menurutnya, projek itu berjaya disiapkan dalam tempoh hanya dua bulan seperti yang dijadualkan.
“Projek ini bukan sahaja bertujuan untuk memperbaharui kemudahan di balai polis tetapi juga meningkatkan keselesaan dan kualiti perkhidmatan anggota polis.
“Ini adalah usaha yang amat penting untuk memastikan para anggota polis dapat menjalankan tugas dengan lebih efisien, penuh dedikasi dan dalam persekitaran yang lebih kondusif,” katanya menerusi satu hantaran Facebook milik Farhan.
Dalam pada itu, beliau turut memberi sokongan penuh ke atas projek baik pulih dan naiktaraf balai polis tersebut serta mengharapkan agar peningkatan ini dapat meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Pada 15 Julai 2023, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM150 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Penjara di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM45 juta diluluskan untuk pembaikan dan perolehan 117 pos kawalan Pasukan Gerakan Am, RM40 juta untuk infrastruktur berkaitan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCom) dan RM50 juta bagi penyelenggaraan kuarters PDRM.
Baca juga: