Kediaman Presiden Korea Selatan digeledah

SEOUL: Kediaman Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol hari ini dikunjungi penyiasat bagi melaksanakan waran tangkap terhadapnya berhubung pengisytiharan darurat tentera yang gagal.

Suk Yeol menjadi pemimpin pertama dalam sejarah negara itu berdepan penahanan dan digantung tugas ketika masih memegang jawatan.

Sebelum ini, beliau digantung tugas oleh parlimen selepas pengisytiharan darurat pada 3 Disember, kini berdepan risiko ditahan, dipenjarakan atau hukuman mati.

“Pelaksanaan waran tangkap terhadap Presiden Yoon Suk Yeol telah bermula,” kata Pejabat Penyiasatan Rasuah (CIO), lapor agensi berita Yonhap.

Puluhan bas polis dan ratusan anggota polis beruniform berbaris di luar kediaman itu dengan kira-kira 2,700 anggota polis dan 135 bas ditempatkan di kawasan tersebut bagi mengelakkan pertembungan,

Penyokong Suk Yeol, yang terdiri daripada personaliti YouTube berhaluan kanan dan paderi Kristian evangelis berkumpul di luar kediaman sepanjang malam mengadakan sesi doa semalaman sambil melaungkan “Waran tangkap haram tidak sah” dan memegang batang cahaya merah.

Ketua CIO, Oh Dong-woon, memberi amaran bahawa mana-mana pihak yang menghalang penahanan Yoon boleh berdepan pendakwaan.

Selain waran tangkap, mahkamah Seoul turut mengeluarkan waran geledah untuk kediaman rasmi Suk Yeol dan beberapa lokasi lain.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat