Amat wajar PAS batal hasrat sertai Himpunan Solidariti Najib – Puad

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyatakan sokongan terhadap keputusan parti itu untuk membatalkan perhimpunan Solidariti Najib yang dijadualkan pada Isnin ini.

Menurutnya, keputusan itu diambil setelah menerima nasihat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Amat wajar PAS dan NGO lain membatalkan hasrat mereka. Kalau UMNO sebagai pihak yang terkesan langsung dengan kes Najib, maka kenapa tidak parti lain turut membuat keputusan sama,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

Puad berkata, UMNO sebagai parti yang mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu, yakin pada ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong agar Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat keadilan penuh.

Terdahulu, UMNO tidak akan meneruskan Himpunan Solidariti kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dicadang berlangsung pada 6 Januari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu diambil atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan sebagaimana gesaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

“UMNO dengan penuh kerendahan diri akur atas segala saranan titah Tuanku agar menghormati kuasa prerogatif YDPA untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dengan mengemukakan rayuan terhadap Najib, bekas perdana menteri yang banyak jasanya pada rakyat dan negara.

“UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sebagaimana Titah Tuanku.

“UMNO menaruh sepenuh keyakinan atas keihsanan dan kebijaksanaan YDPA dalam memberikan keadilan penuh kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak,” katanya dalam satu kenyataan.

Anda Mungkin Berminat