Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: PAS tidak berhasrat untuk menyemak kembali seruan kehadiran aman ahli-ahlinya di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin ini.
Ia sebagai tanda solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, himpunan tersebut tidak menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong atau mengganggu proses Lembaga Pengampunan.
“Himpunan yang diadakan itu hanya sebagai tanda solidariti terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan pada saat-saat penentuan di mahkamah.
“Ia merupakan usaha beliau (Najib) mendapatkan hak, keadilan dan perlindungan terbaik di bawah undang-undang atas kepercayaan bahawa kuasa prorogatif yang sama telah memberikan kelonggaran tertentu ke atas hukuman dijalaninya, iaitu melalu dokumen dikenali sebagai ‘Titah Adendum’,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada masa sama, Takiyuddin kesal apabila terdapat keraguan bahawa Titah Adendum telah dikhianati dan disembunyikan oleh pihak berkuasa tertentu.
Jelasnya, Najib terpaksa memohon semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan dan tindakan lanjut terhadap dokumen tersebut.
“Himpunan solidariti ini tidak lain melainkan bertujuan mempertahankan kuasa dan prerogatif Institusi Yang di-Pertuan Agong daripada manipulasi dan ketidaktelusan,” katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, PAS juga menjunjung tinggi titah Istana Negara berhubung kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Parti (PAS) juga akur dan turut mendukung segala proses serta tata cara yang diperuntukkan di bawah undang-undang berhubung perkara tersebut melalui Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Pada Jumaat, Istana Negara memaklumkan bahawa cadangan keampunan atau pengurangan hukuman hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.
Menurut Istana Negara, ini kerana kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Kuasa prerogatif itu termaktub berdasarkan peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.