Himpunan Solidariti Najib: Akan ada SJR, tindakan tegas kepada peserta

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Polis akan melaksanakan beberapa sekatan jalan raya (SJR) di jalan-jalan masuk ke Putrajaya bagi menghalang orang ramai menyertai Himpunan Solidariti Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya, esok.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, ini kerana, perhimpunan itu dilaporkan tidak mendapat kebenaran daripada pemilik tanah, sekali gus tidak mematuhi syarat-syarat seperti termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Orang ramai dilarang menyertai himpunan itu dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu yang menyertai perhimpunan itu kerana melanggar undang-undang sedia ada.

“Polis juga akan mendirikan beberapa SJR di jalan-jalan masuk ke Putrajaya dan akan membuat pemeriksaan ketat ke atas semua orang yang akan memasuki kawasan Putrajaya esok.

“Langkah ini adalah bagi memastikan tiada apa-apa senjata, sepanduk dan banner yang mengandungi perkataan atau unsur-unsur jelik serta hasutan berhubung dengan perhimpunan esok,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Aidi Sham berkata, pihaknya ada menerima permohonan penganjuran tersebut pada 31 Disember lalu namun ia terpaksa ditolak selepas semakan dilakukan mendapati permohonan berkenaan tidak lengkap.

Jelas beliau, penolakan permohonan telah diberitahu kepada pihak penganjur Jumaat lalu.

Dalam pada itu, 456 pegawai dan anggota akan ditugaskan membuat kawalan keselamatan di Istana Kehakiman dan kawasan sekitarnya esok.

Mahkamah Rayuan menetapkan Isnin (6 Januari) sebagai mendengar rayuan bekas Perdana Menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat