Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencatatkan peningkatan jawatan sebanyak 1.5 peratus pada Suku tahun Pertama 2024 (ST1 2024) sebanyak 8.94 juta berbanding 8.81 juta jawatan pada pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan ini menunjukkan permintaan buruh di Malaysia yang semakin berkembang pada tahun 2024 selari dengan ekonomi Malaysia.
“Ekonomi Malaysia diramalkan akan berkembang pada kadar yang lebih cepat iaitu dari 4 hingga 5 peratus berikutan permintaan dari luar dan pelaburan yang lebih besar.
“Bilangan jawatan yang diisi juga berada dalam trend menaik sebanyak 1.5 peratus daripada 8.61 juta pada ST1 2023 kepada 8.75 juta pada ST1 2024,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Namun, kekosongan jawatan mengikut aktiviti ekonomi susut sebanyak 0.4 peratus dengan catatan jumlah sebanyak 191,900 kekosongan jawatan berbanding 192,600 pada ST1 2023.
Mohd Uzir turut menambah, kekosongan jawatan mengikut kategori kemahiran mencatatkan jumlah sebanyak 107,500 kekosongan, terbahagi kepada 56 peratus daripada jumlah kekosongan separuh mahir, diikuti dengan 24.9 peratus kategori mahir dan 19.1 peratus daripada kategori berkemahiran rendah.
Membuat rumusan mengenai pertumbuhan ini, Uzir menyatakan momentum positif bagi permintaan buruh yang menggalakkan pada tahun ini menunjukkan prestasi sektor ekonomi yang semakin berkembang pesat.
Ia turut selari dengan peningkatan bilangan penduduk bekerja iaitu sebanyak 0.3 peratus seperti yang dilaporkan dalam Laporan Tenaga Buruh Suku Tahunan, ST1 2024.
Baca juga: