PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tersenarai sebagai antara 10 pemimpin dunia yang diperhatikan pada 2025, lapor The Straits Times.
Menurut media Singapura itu, kedudukan Anwar adalah sebaris dengan beberapa pemimpin dunia terkemuka seperti Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump; Presiden Russia, Vladimir Putin; dan Presiden China, Xi Jinping.
Turut tersenarai adalah Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un; Perdana Menteri India, Narendra Modi; Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba; dan sudah pastinya tidak ketinggalan pemimpin dari negara jiran iaitu Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Tahun ini, Anwar menggalas tanggungjawab besar sebagai Pengerusi ASEAN untuk memimpin rantau Asia Tenggara.
Dua inisiatif besar Asean, yang bertahun-tahun diusahakan dijangka akan dimuktamadkan di bawah pengawasan Anwar.
Pertama ialah penambahbaikan kepada Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China, yang akan meningkatkan pertukaran dan pelaburan ekonomi antara wilayah.
Kedua ialah Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital, yang diunjurkan menggandakan saiz ekonomi digital Asean pada 2030.
Ini dengan mengurangkan halangan dan membangunkan piawaian untuk e-dagang rentas sempadan, pembayaran digital dan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
“Anwar akan mengaitkan kejayaan ASEAN sebagai hasil daripada usahanya untuk menarik lebih banyak pelaburan asing ke rantau ini dan memajukan pembangunan ekonomi Malaysia secara keseluruhan.
“Namun, dia mahukan lebih banyak lagi – peluang menjadi pemimpin global,” lapor The Straits Times.
Anwar adalah pemimpin yang melihat jawatan pengerusi ASEAN Malaysia 2025 sebagai peluang untuk mengubah dunia dan hala tuju kumpulan itu.
Mengkritik ‘dunia unipolar lama’, pemimpin berusia 77 tahun itu menyeru perubahan dalam sistem kewangan global yang dianggapnya mengutamakan Negara-Negara Utara berbanding Negara-Negara Selatan.
Pengkritik mungkin menganggapnya sebagai oportunis, namun menurut Anwar, sudah tiba masanya Negara-Negara Selatan (dan Timur) memainkan peranan untuk mengubah struktur sedia ada yang ‘meminggirkan negara membangun’.
Dua lagi isu yang akan menguji kepimpinan Anwar adalah krisis kemanusiaan di Myanmar sejak 2021 dan ketegangan yang semakin meningkat di Laut China Selatan.
Jangkaan terhadap Myanmar adalah rendah dengan Konsensus Lima Perkara (5PC) tidak pernah dipenuhi.
Rancangan junta untuk melaksanakan pilihan raya boleh mewujudkan momentum baharu, manakala perjanjian dilakukan hanya untuk membenarkan bantuan kemanusiaan dan akses kepada tahanan politik yang akan dilihat sebagai kemenangan.
Kod tata laku (CoC) bagi Laut China Selatan antara China dan pihak yang menuntut di Asia Tenggara akan dikira sebagai kemajuan yang ketara.
Krisis di Laut China Selatan juga dijangka akan bertambah rumit sekiranya ia melibatkan sekutu AS seperti Filipina.
Namun, terdapat juga kemungkinan Anwar akan mencari rakan sejawatannya seperti Prabowo, yang dijangka akan memberi sokongan kuat untuk ASEAN kali ini.
Ini sekali gus memudahkan pelaburan rentas sempadan, ketersambungan rantaian bekalan dan pembangunan mampan, sejajar dengan penekanan pentadbirannya berhubung ‘pembangunan berorientasikan pertumbuhan’.