PETALING JAYA: Menukar kepimpinan kerajaan tanpa melalui proses demokrasi dalam pilihan raya harus dikutuk sebagai tindakan terdesak demi manfaat peribadi dan kepentingan politik.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan tindakan segelintir pihak yang berulang kali mencetus pertikaian, kekacauan dan menjadi ‘batu api’ hanya menjejaskan keamanan dan perpaduan dalam negara.
“Saya berpandangan bahawa Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim harus dibenarkan untuk melengkapkan tempoh lima tahunnya, membolehkan Kerajaan Perpaduan melaksanakan sepenuhnya inisiatif dan dasar yang dirancang untuk memberi manfaat kepada rakyat.
“Apabila tibanya waktu pilihan raya umum akan datang, maka rakyat akan berpeluang untuk menilai prestasi kerajaan selama lima tahun sebelumnya, terutama dalam usaha meningkatkan kehidupan dan ekonomi, dan kemudiannya memutuskan sama ada perubahan dalam kepimpinan negara adalah wajar atau sebaliknya,” katanya menerusi Facebook pada Selasa.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu juga menyatakan landskap politik Malaysia yang stabil dan ekonomi beransur pulih tidak harus dicemari dengan spekulasi menjejaskan ekonomi negara.
“Kita mesti belajar dan mengambil iktibar daripada pengalaman lepas. Kerajaan terdahulu mengalami tiga perubahan dalam jawatan perdana menteri, menjerumuskan landskap politik ke dalam situasi huru-hara dan mendatangkan kemudaratan besar kepada rakyat.
“Jika Anwar gagal memberikan prestasi yang memuaskan, rakyat berhak menyatakan kehendak mereka melalui peti undi.
“Masa depan Malaysia tidak boleh tergelincir oleh agenda politik. Tanpa mengira sebarang perbezaan, saya menggesa semua pihak agar bersama-sama menyelesaikan pertikaian melalui dialog dan perundingan daripada tergesa-gesa mendesak perubahan dalam kepimpinan,” katanya.
Terdahulu, pemimpin parti Perikatan Nasional menggesa Anwar meletakkan jawatan dengan dakwaan campur tangan dalam bidang kehakiman.
Baca juga:
.