PAS hanya tunggang isu adendum untuk kepentingan politik – Mujahid

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengecam tindakan PAS menyertai Perhimpunan Solidariti Najib yang dijadikan medan untuk memburukkan serta memfitnah Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mujahid berkata, laungan dan retorik Islam PAS hanyalah ibarat tin kosong kerana perhimpunan tersebut semata-mata bertujuan untuk meraih sokongan melalui pendekatan politik murahan.

“… PAS mengamalkan politik Machiavelli, iaitu matlamat menghalalkan cara yang kononnya ditentang selama ini.

“Hakikatnya PAS hanyalah menggunakan prinsip hukum mengikut selera politiknya dan mahu mencetuskan polemik politik untuk membelasah Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri serta menggugat kestabilan negara,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa Perhimpunan Solidariti Najib dan isu adendum dijadikan dalih untuk menutup kelemahan PAS, sedangkan pemimpin-pemimpin parti itulah yang paling kuat membidas Najib ketika isu 1MDB meletus dahulu.

Menurut Mujahid, walaupun Ketua Polis Negara telah mengarahkan agar perhimpunan itu dibatalkan, PAS tetap meneruskannya demi mencapai matlamat dan kepentingan politik sempit.

Beliau menegaskan bahawa PAS tidak layak menjadi ‘role model’ parti yang memperjuangkan Islam dan Melayu serta menyifatkan PAS sebagai parti politik oportunis tanpa panduan prinsip dan nilai-nilai Islam sebenar.

“Rakyat perlu mengenali watak dan keperibadian sebenar PAS agar tidak terperangkap dengan sandiwara dan permainan politik yang selalu berubah mengikut musim serta kepentingan sempit politik,” katanya.

Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tidak ramai penyokong PAS dan BERSATU yang menyertai Himpunan Solidariti Najib kerana mengetahui bahawa para pemimpin mereka ‘main wayang’ dan ‘menunggang’ isu berkenaan.

Tambahnya, sebelum ini PAS sering menggunakan isu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memburukkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Anda Mungkin Berminat