Lesen media sosial, langkah bijak Kerajaan lindungi kanak-kanak – Pakar

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Pelesenan media sosial yang berkuat kuasa di Malaysia pada 1 Januari lalu disifatkan sebagai tindakan bijak oleh Kerajaan dalam usaha menghentikan isu pornografi khususnya kepada kanak-kanak.

Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Taylor’s, Profesor Madya Dr Saidatul Nadia Abd Aziz berkata, sekiranya kandungan dalam talian tidak dikawal, akan memberi risiko kepada golongan tersebut, termasuk orang dewasa.

“Lesen kepada media sosial ini menunjukkan satu usaha serius Kerajaan untuk menangani sesuatu isu, lagi-lagi kita ini negara yang meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

“Jadi, usaha ini menunjukkan kepada konvensyen kebangsaan bahawa kita benar-benar komited dalam melindungi kanak-kanak.

“Ini adalah sangat baik dan kita patut hargai. Saya sebenarnya memang nak melihat apakah kesan daripada pelesenan ini sebab kita tidak boleh nafikan memang akan ada cabaran dalam melaksanakannya,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Berkuat kuasa 1 Januari lalu, pengendali platform dengan jumlah pengguna lebih lapan juta orang perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) untuk beroperasi di negara ini.

Langkah pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu dirangka bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet serta media sosial.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), setakat ini, empat syarikat penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial utama telah memohon lesen terbabit dengan Tencent yang mengendalikan aplikasi WeChat menjadi syarikat pertama yang diluluskan lesen itu.

Mengulas lanjut, Dr Nadia berkata, sekiranya ada kelemahan dalam pelaksanaan pelesenan itu, tidak wajar untuk sesetengah pihak terus menyatakan ia gagal.

“Tidak adil kalau kita kata 1 Januari berkuatkuasa, apa yang berlaku selepas itu adalah gagal. Tidak adil.. Kita perlu memberi masa kepada implementasi undang-undang ini.

“Tetapi, kalau ada masalah, perlu kepada penambahbaikan sebab kita kena faham media sosial ini sifatnya laju dan perubahan itu cepat.

“So kena ada ‘timeline’ yang tegas dan tepat perlu kita patuhi. Kalau kata ada pihak yang melanggar pelesenan itu, tindakan segera perlu diambil,” ujarnya.

Untuk rekod, pada 9 Disember lalu, Parlimen telah meluluskan pindaan kepada Akta 588 yang antara lain meminda Seksyen 211(c) dengan menggantikan perkataan ‘seseorang’ dengan perkataan ‘pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan’ selain menggantikan perkataan ‘lima puluh ribu’ dengan perkataan ‘satu juta’.

Pindaan itu menyatakan seksyen tersebut tidak lagi terpakai kepada orang awam sebaliknya penggunaannya adalah kepada pemegang lesen CASP dengan denda dalam seksyen tersebut diselaraskan mengikut perkembangan semasa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat