PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Natasha Roslan yang melakar sejarah sebagai pemain boling wanita pertama Malaysia menjuarai Piala Dunia.
Beliau berkata, kemenangan itu telah melakar sejarah negara dengan pencapaian Natasha yang membanggakan negara.
“Hebat! Memang luar biasa! Natasha Roslan melakar sejarah menjadi pemain boling wanita pertama negara menjuarai Piala Dunia. Pencapaian saudari luar biasa dan sangat membanggakan,” katanya.
Natasha, 28, menewaskan peserta Jerman, Birgit Noreiks, dengan keputusan 217-166 dan 226-169 di Kowloon, Hong Kong.
Kemenangan itu menamatkan kemarau 53 tahun tanpa kejuaraan kategori individu wanita sejak kejohanan itu dipertandingkan pada 1972.
Natasha, yang juga pemenang pingat emas Kejohanan Tenpin Boling Dunia 2023 di Kuwait, menambah koleksi gelaran dunia ketiganya selepas menjuarai kejohanan sama dalam acara berpasukan wanita pada edisi 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Terdahulu, Natasha menewaskan Daphne Tan dari Singapura dengan keputusan 244-196, 213-216, 187-181 pada separuh akhir.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Rafiq Ismail yang meraih pingat perak dalam acara perseorangan lelaki.
“Juga sekalung tahniah kepada Rafiq Ismail yang mendapat pingat perak bagi acara perseorangan lelaki,” katanya.
Rafiq, bekas juara dunia 2018, tewas tipis kepada wakil China, Du Jian Chao dengan keputusan 223-222, 166-216, dan 193-235.
Perdana Menteri berharap kejayaan Natasha dan Rafiq akan menjadi sumber inspirasi kepada atlet lain untuk mengharumkan nama Malaysia di persada sukan dunia.