Oleh: Kamilia Ali
DENGKIL: Penantian lebih 20 tahun untuk mendapatkan rumah dijanjikan akhirnya tertunai apabila 400 keluarga pekerja ladang disahkan kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata PPR berkenaan bakal menempatkan pekerja ladang dari Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgely yang sebelum ini ditempatkan di Rumah Kos Rendah (RKR) Taman Permata, Selangor.
“Projek ini akhirnya menerima sijil Penyiapan dan Pematuhan atau Certificate Of Completion And Compliance (CCC) pada 31 Disember 2024.
“Pada masa ini sebanyak 10 projek PPR telah dan sedang dilaksanakan di Negeri Selangor yang merangkumi lapan projek siap (8,220
unit), satu projek yang masih dalam pembinaan (245 unit) dan satu projek di dalam perancangan (200 unit),” jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang pada Isnin.
Tambahnya, projek PPR Ampar Tenang ini merupakan kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor melalui pengambilan tanah estet milik Sime Darby Sdn. Bhd. bernilai RM15 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Jelasnya, tanah ini kemudiannya telah dipindah milik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) bagi tujuan pembangunan Projek PPR Ampar Tenang.
“PPR ini telah dibangunkan di atas tanah seluas 30 ekar melibatkan 34 blok rumah dan projek telah bermula pada 1 Ogos 2017.
“Ia telah diteruskan oleh kontraktor penyiap pada 8 Oktober 2021 dengan tempoh penyiapan baki kerja projek selama 24 bulan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sepang.
Tambahnya, PPR Ampar Tenang merupakan kediaman yang terdiri daripada 404 unit rumah teres satu tingkat berkeluasan 750 kaki persegi dan setiap unit rumah dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air serta turut memiliki kemudahan seperti dewan komuniti, taman permainan dan kawasan lapang.
“Konsep PPR ini adalah secara dimiliki menggunakan peruntukan Tabung Kumpulan Wang Amanah PPR Dimiliki Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan nilai kos pembangunan sebanyak RM88 juta.
“Selain itu, ia turut menyediakan empat unit rumah bagi memenuhi keperluan golongan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.