Oleh: Haikal Tajuddin
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu bekerja lebih kuat, selaras dengan penambahan peruntukan yang disediakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin berkata, peruntukan yang disediakan oleh Perdana Menteri itu adalah langkah terbaik untuk mempersiapkan pasukan utama menjadi lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai.
“FAM berbesar hati dengan pengumuman daripada YAB Perdana Menteri berhubung peningkatan peruntukan terhadap Harimau Malaya.
“Peruntukan tambahan ini juga sudah pasti akan meningkatkan lagi motivasi buat para pemain skuad kebangsaan bagi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan. Sekali lagi ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri,” katanya pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut berkata, peruntukan yang disediakan itu akan dimanfaat dengan lebih baik bagi meningkatkan kualiti para pemain.
Tambahannya, program-program bagi pembangunan Harimau Malaya juga akan turut ditambah di setiap peringkat.
Dana ini juga turut digunakan bagi aspek pengurusan organisasi untuk memacu perubahan bagi memastikan para pemain skuad kebangsaan mendapat sokongan yang terbaik daripada tenaga pakar yang dilantik.
“Sekali lagi ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri.
“Junjung kasih juga kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sentiasa prihatin serta memberikan sokongan dan bantuan kepada FAM dalam usaha kita meningkatkan lagi prestasi skuad Harimau Malaya,” katanya.
Pada Ahad, Anwar telah mengumumkan suntikan dana tambahan buat Harimau Malaya berjumlah RM15 juta daripada pihak swasta.
Ini menjadikan jumlah peruntukan yang diterima ialah RM30 juta. Ini termasuk peruntukan RM15 juta yang dinyatakan dalam Belanjawan 2025.
Baca juga: