23 cedera, bas langgar lori kontena

SUNGAI BAKAP: Sebuah bas yang membawa 24 penumpang telah melanggar bahagian belakang sebuah lori kontena di Kilometer 157.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke Utara, di sini, Pulau Pinang pada awal pagi tadi.

Dilaporkan, insiden tersebut menyebabkan 23 penumpang mengalami kecederaan, manakala tiga lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Komander Operasi, PBK II Saiful Bahari Mohamad memaklumkan bahawa pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 4.16 pagi.

Katanya, seramai 13 anggota bertugas daripada Balai Bomba Penyelamat (BBP) Sungai Bakap dan BBP Nibong Tebal segera bergegas ke lokasi kejadian.

“Anggota bomba segera menjalankan kerja-kerja penyelamatan untuk mengeluarkan kesemua mangsa dari dalam bas.

“Perawatan awal kepada mangsa yang cedera turut diberikan oleh anggota Unit EMRS bomba.

“Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sungai Bakap dan Hospital Seberang Jaya oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan St John untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Tambah Saiful, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kemalangan itu.

Anda Mungkin Berminat