Bot nelayan tempatan hanyut diserahkan semula

MUAR: Bot milik nelayan tempatan yang dilaporkan hanyut ke Bengkalis, Indonesia minggu lalu telah diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semalam pada pukul 2 petang.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, bot tersebut telah diserahkan oleh dua pegawai Polis Republik Indonesia (POLRI) pada kedudukan 17 batu nautika barat daya Parit Jawa, Muar.

Sebelumnya, media melaporkan dua nelayan tempatan bersama sebuah bot hilang di perairan Muar ketika keluar memancing pada 7 Januari lalu.

Bot yang dilaporkan hanyut itu mengalami kerosakan enjin sebelum dihanyutkan arus sehingga memasuki perairan Indonesia.

Kedua-dua nelayan tempatan, Asamadi Omar, 55, dan Zulkefli Mad, 46, ditemukan selamat dan telah pulang ke Malaysia pada Jumaat lalu.

Mohammad Zaini turut memaklumkan, bot nelayan itu telah dibaik pulih dan diiringi POLRI sebelum diserahkan kepada Maritim Malaysia.

“Semua urusan bagi membawa pulang bot tersebut telah diselesaikan semalam dan diserahkan kepada wakil Maritim Malaysia yang diketuai oleh Leftenan Maritim Mohd Hairulnizam Abdul Razak.

“Turut serta Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Muar, Norhakim Simon,” katanya.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada POLRI yang membantu dalam operasi penyerahan ini,” tambah beliau.

Untuk sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat melalui talian 07-4349343 atau NG 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat