Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Firma Malaysia, YTL Group telah mencipta sejarah baharu dengan menjadi pelabur terbesar Malaysia di United Kingdom (UK).
Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pelancaran produk oleh YTL Group UK, hari ini.
Menurut Anwar, kejayaan itu adalah salah satu langkah progresif dalam memberi komitmen politik bagi menggalakkan perdagangan bebas antara Malaysia dan UK melalui Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
“Perjanjian CPTPP berfungsi sebagai saluran kritikal untuk memudahkan pelaburan serta perdagangan antara kedua-dua negara.
“Syabas kepada YTL kerana menjadi pelabur terbesar Malaysia di UK, sekali gus mengubah Bristol Brabazon, bekas tapak bersejarah Filton Airfield menjadi kawasan pembangunan utama yang menempatkan pelbagai kemudahan penting,” katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh 15 tahun, kawasan itu akan mempunyai tempat kerja, sekolah, taman bandar baharu, kedai, pengangkutan awam, penjagaan kesihatan dan kawasan hijau serta melibatkan pembangunan 6,500 rumah lestari berkualiti tinggi.
Anwar menekankan bahawa Malaysia kini menjadi lokasi penting bagi pelabur dunia dengan polisi kerajaan yang kritikal terhadap sosial tenaga, kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.
“Malaysia perlu sokongan pelabur tempatan dan luar negara untuk mencapai kemajuan ekonomi dan kejayaan, disokong oleh kestabilan dan keharmonian benua ASEAN yang dahagakan sinergi pelaburan serta perdagangan baharu,” katanya.
Baca juga: