Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyaksikan tiada perebutan susulan Datuk Joehari Mohd Ayub diumum sebagai calon tunggal untuk jawatan tersebut.
Perkara itu disahkan FAM selepas menyiarkan senarai awal nama 29 orang calon layak bertanding pada Kongres Pemilihan Penggal 2025-2028 yang akan berlangsung pada 15 Februari depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said berkata, bagi menandingi jawatan-jawatan penting seseorang calon itu perlu mendapatkan pencalonan minimum dari ahli-ahli gabungan FAM.
“Bagi menandingi jawatan Presiden, seseorang calon itu perlu mendapatkan sekurang-kurangnya enam pencalonan dari ahli-ahli gabungan FAM manakala bagi jawatan Timbalan Presiden memerlukan lima pencalonan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya lagi, calon-calon yang layak untuk bertanding itu akan diberikan Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan untuk mereka membalas semula borang berkenaan selewat-lewatnya 23 Januari ini dengan menyatakan persetujuan untuk bertanding jawatan yang dicalonkan atau sebaliknya iaitu tidak bersetuju.
Pada masa yang sama, Jawatankuasa Pemilihan FAM juga akan menghantar nama mereka untuk proses saringan integriti membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta semakan status kebankrapan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI).
“Seterusnya, Jawatankuasa Pemilihan FAM akan mengumumkan senarai akhir iaitu senarai rasmi nama calon yang layak bertanding pada pemilihan kali ini, pada/selepas 23 Januari ini atau selewat-lewatnya pada 8 Februari depan iaitu tujuh hari sebelum kongres berlangsung di mana senarai sama juga akan dihantar kepada 18 ahli gabungan untuk makluman mereka,” tambahnya.
Selain jawatan Presiden, posisi Timbalan Presiden juga tidak dicabar apabila dijangka kekal menjadi milik penyandang terdahulu, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram.
Baca juga: