Mahathir ragu gencatan senjata Israel-Hamas

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meragui perjanjian gencatan senjata yang dicapai antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas.

Beliau mempersoalkan sama ada Israel yang sebelum ini telah melanggar banyak resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menghormati perjanjian tersebut.

“Saya ragu dengan perjanjian gencatan senjata Gaza. Mungkin saya pesimis.

“Adakah sesiapa percaya bahawa Israel yang telah melanggar perjanjian gencatan senjata yang lalu dengan Hizbullah, akan memilih untuk mematuhinya kali ini?” soalnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dr Mahathir yang suaranya dihormati di dunia Islam mendakwa, rejim Zionis tetap meneruskan usaha pembantaian meskipun mengetahui gencatan senjata bakal berlangsung.

“Maafkan pesimisme saya. Tetapi kegembiraan yang ditunjukkan oleh penduduk Gaza adalah terlalu awal. Saya harap saya salah,” katanya lagi.

Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan gencatan senjata bermula Ahad ini untuk menghentikan perang selama 15 bulan yang dahsyat di Gaza.

Terdahulu, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani berkata, perjanjian itu akan membawa kepada pembebasan tawanan Israel dan lonjakan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Pada sidang media di Doha, Sheikh Mohammed berkata, fasa pertama perjanjian itu akan berlangsung selama 42 hari dan membabitkan pembebasan 33 tahanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin yang tidak dinyatakan.

Tambahnya, Qatar, Mesir, dan Amerika Syarikat (AS) “akan berusaha memastikan pelaksanaan perjanjian itu” dengan mekanisme bagi memantau pelaksanaannya serta menangani sebarang kemungkinan pelanggaran.

Anda Mungkin Berminat