Selepas UAE dan UK, Anwar adakan lawatan kerja ke Belgium pula

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja dua hari ke Belgium bermula Ahad selepas selesai lawatan kerjanya ke United Kingdom (UK).

Ini merupakan lawatan sulung Perdana Menteri ke Belgium sejak beliau memegang jawatan itu yang bertujuan mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Belgium serta Kesatuan Eropah (EU).

Perdana Menteri akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“Semasa lawatan itu, Anwar akan bertemu Perdana Menteri, Alexander De Croo untuk membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Belgium.

“Serta mempergiat usaha kerjasama serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.,” menurut kenyataan Wisma Putra, hari ini.

Perdana Menteri juga akan bertemu Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa dan kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan cara untuk mempertingkatkan lagi hubungan Malaysia-EU dan kerjasama serantau.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar akan menyatakan keutamaan Malaysia dan aspirasi global ASEAN dalam menangani cabaran antarabangsa, sambil meneroka cara untuk mengukuhkan lagi hubungan dialog ASEAN-EU.

“Perdana Menteri juga dijadual untuk menyampaikan ucapan khas di College of Europe bertajuk ‘Bridging Regions: Strengthening Southeast Asia-European Resilience’,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, dari Januari hingga November 2024, perdagangan dua hala Malaysia dengan EU, termasuk Belgium berjumlah RM200 bilion (USD43.71 bilion).

Sehingga kini, 1,345 projek pembuatan dengan penyertaan EU telah dilaksanakan di Malaysia, menarik pelaburan berjumlah RM239.9 bilion (USD59.80 bilion) dan mewujudkan 155,933 pekerjaan.

Selepas lawatan dua hari itu, Anwar akan berlepas ke Switzerland untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos.

Anda Mungkin Berminat