PASANGAN beregu lelaki Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani mencipta kejutan dengan menjuarai Terbuka India 2025.
Sebagai pasangan nombor 2 dunia, Sze Fei-Izzuddin membuktikan kedudukan mereka apabila bertarung hebat untuk menewaskan juara Terbuka Malaysia, Seo Seung-jae dan Kim Won-ho dari Korea Selatan dengan keputusan 21-15, 13-21, 21-16 dalam aksi final yang mendebarkan selama 53 minit di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi, hari ini.
Pasangan Korea itu sebelum ini menang dalam semua perlawanan sejak bergandingan di kejohanan Malaysia, namun Sze Fei-Izzuddin membuktikan mereka mampu mengakhiri rentetan kemenangan tersebut dengan aksi cemerlang.
Kemenangan ini juga menamatkan penantian 15 tahun Malaysia untuk merangkul gelaran beregu lelaki di India Open, sejak pasangan Mohd Zakry Latif dan Fairuzizuan Mohd Tazari menjuarai edisi 2010.
Sze Fei-Izzuddin, yang dilatih oleh bekas pemain antarabangsa, Teo Kok Siang bangkit dengan prestasi mengagumkan setelah tersingkir awal pada Terbuka Malaysia.
Kejayaan mereka memberikan suntikan semangat kepada Malaysia, selepas empat lagi pasangan – Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita), Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (beregu campuran) semuanya tewas di separuh akhir.
Ini adalah gelaran keempat mereka sejak Ogos tahun lalu selepas menjuarai Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Arctic, selain berjaya melangkah ke Final Jelajah Dunia di China pada bulan lepas.
Baca juga: