BRUSSELS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Majlis Eropah, António Costa di Bangunan Europa pada Isnin.
Menurut Anwar, pertemuan itu membuka peluang kerjasama antara Malaysia dan Majlis Eropah dalam mencorak sinergi kepelbagaian budaya, kesatuan dan kebersamaan merentasi benua.
“Perbincangan turut melibatkan isu keamanan dan hak asasi manusia termasuk gencatan senjata di Gaza dan Ukraine,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Di bangunan yang sama, Anwar juga bertemu dengan Wakil Tinggi untuk Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan dan Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Kaja Kallas untuk bertukar pandangan mengenai demokrasi, kemasyarakatan, pelaburan, perdagangan, dan kecerdasan buatan (AI).
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan hari kedua lawatan kerja ke Belgium dengan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo.
Perbincangan melibatkan usaha-usaha memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Belgium dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan dan pelaburan serta pendidikan seperti Pendidikan Tinggi dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Selain bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, Perdana Menteri juga turut menyentuh isu Palestin.