Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Industri media ketika ini berhadapan dengan cabaran yang memerlukan adaptasi pantas serta inovasi berterusan untuk terus kekal relevan.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Shazleen Mohamed bersetuju dengan kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bahawa industri media kini berhadapan dengan cabaran daripada pelbagai industri termasuk media sosial.
“Persediaan yang strategik dan menyeluruh perlu untuk memastikan kelangsungan hidup dan relevansi dalam landskap yang berubah-ubah.
“Antara langkah persediaan yang boleh diambil adalah dengan mengadaptasi kepada teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI).
“Gunakan teknologi AI untuk mengoptimumkan penghasilan kandungan, seperti analisis data penonton atau penjanaan teks automatik selain memanfaatkan platform media sosial dan laman web untuk mengembangkan capaian penonton,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Beliau berkata, peningkatan kemahiran tenaga kerja dari segi latihan dan pembangunan perlu diperkukuhkan untuk memastikan tenaga kerja dilatih dengan kemahiran digital seperti analitik data, pemasaran digital dan penyuntingan kreatif.
Jelasnya, dengan kakitangan yang terlatih boleh menyumbang kolaborasi antara jabatan untuk menghasilkan kandungan yang lebih inovatif dan relevan.
“Kerjasama strategik turut menjadi aspek penting dalam membangunkan ekosistem media yang kukuh dengan hubungan institusi pendidikan, syarikat teknologi dan rakan industri lain perlu diperluaskan.
“Dengan pendekatan ini, industri media dapat terus maju seiring dengan perkembangan teknologi dan memenuhi keperluan penonton yang semakin kompleks,” katanya.
Terdahulu, Fahmi mengakui bahawa industri media ketika ini berhadapan cabaran seperti perbelanjaan pengiklanan yang berkurangan berikutan syarikat membelanjakan dana iklan mereka untuk digunakan di platform media sosial.
Beliau berkata demikian selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada Khamis.
Baca juga: