Oleh: Hanim Nadia
MAJLIS Sukan Negara (MSN) menyalurkan insentif khas kepada atlet-atlet boling negara yang melakar pencapaian cemerlang pada Kejohanan Piala Dunia Boling Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong awal bulan ini.
MSN dalam satu kenyataan berkatan, insentif berjumlah RM90,000 itu adalah pengiktirafan kepada pencapaian atlet-atlet negara, biarpun Piala Dunia IBF pada awalnya tidak disenaraikan oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) untuk Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
“Natasha Roslan yang muncul juara acara individu wanita menerima RM20,000 manakala Muhamad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol, Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam dan Timmy Tan yang memenangi gelaran juara acara berpasukan lelaki menerima RM40,000.
“Rafiq yang turut cemerlang bergelar naib juara acara individu lelaki menerima RM10,000 manakala pasukan wanita dibarisi Natasha, Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Gillian Lim yang turut bergelar naib juara acara berpasukan wanita menerima RM20,000,” kata kenyataan itu.
Insentif khas itu disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya semalam.
Natasha menamatkan kemarau 53 tahun menjadi atlet wanita pertama negara merangkul kejuaraan Piala Dunia IBF itu.
Pencapaian terbaru ini melengkapkan koleksi kejuaraan Natasha yang sebelumnya pernah muncul juara individu wanita di Kejohanan Boling Dunia 2023 di Salmiya, Kuwait dan juara berpasukan dunia pada kejohanan di Las Vegas, Amerika Syarikat pada tahun 2017.
Baca juga: