Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Lawatan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ke Malaysia pada hari ini mencerminkan hubungan erat dan istimewa antara dua negara.
Menurut kenyataan Wisma Putra, ini adalah lawatan negara pertama oleh Ketua Negara asing ke Malaysia selepas pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Pesawat yang membawa Prabowo tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 5.50 pagi tadi.
Sebaik tiba Prabowo memeriksa barisan kawalan kehormatan oleh 28 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai Kapten Muhammad Syafiq Najmi Mazlan.
![](https://malaysiabangkit.com/wp-content/uploads/2025/01/f30b6162-370a-4066-9237-b3e0797730b7-1024x682.jpeg)
Pada jam 10 pagi tadi, Prabowo diberikan sambutan negara penuh istiadat di Istana Negara bersempena lawatan negara atas jemputan Sultan Ibrahim.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta menteri Kabinet.
Selepas istiadat rasmi, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Prabowo di Dewan Seri Maharaja dan beliau dikurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati, disusuli dengan persembahan cenderakenangan.
Seri Paduka Baginda turut berkenan menjadi tuan rumah Majlis Santapan Negara bagi meraikan Presiden Indonesia itu dan delegasinya.
Dalam lawatan ini, Prabowo dijadualkan bertemu Anwar untuk saling bertukar pandangan mengenai kerjasama dua hala, di samping membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, di Menara Berkembar Petronas di ibu negara.
Baca juga: