Rakyat Harap Ada Sinar Untuk Gaza Menjelang Ramadan

PETALING JAYA: Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membangunkan semula Gaza disambut baik oleh rakyat negara ini.

Mereka mengharapkan menjelang bulan Ramadan nanti akan ada perbaikan infrastruktur awam terutama masjid-masjid untuk rakyat Gaza menunaikan solat sunat tarawih.

Bagi pesara guru, Nazim Ahmad(65) yang tinggal di Setapak, Kuala Lumpur, beliau sangat berharap usaha Anwar memberi sinar untuk penduduk Gaza.

“Dengan sebahagian rumah hancur, diharapkan dengan pembinaan Masjid dapat menjadi tempat tumpuan bukan sahaja tempat beribadat tetapi pusat pengagihan makanan,” katanya ketika dihubungi.

Turut gembira dengan usaha ini Hafizah Noordi(29) seorang pembantu pendidikan kanak-kanak.

Beliau turut merayu agar rakyat Malaysia menyahut usaha Perdana Menteri dengan mengadakan kutipan derma.

“Saya sangat berharap agar bantuan ini turut menumpukan kepada anak-anak. Bantuan bukan sahaja tertumpu kepada makanan tetapi terapi bagi memulihkan emosi mereka,” katanya dalam nada sedih.

Ikhwan Iqbal(23) mahasiswa dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur juga menyeru kepada rakan-rakan mahasiswa di seluruh negara tampil menghulurkan sokongan.

“Saya berpendapat mahasiswa dapat membantu, bantuan ini akan lebih mudah jika mendapat kerjasama daripada universiti,”katanya.

Terdahulu, Anwar berkata, pembangunan semula Gaza yang hampir musnah akibat serangan Israel sejak Oktober 2023, dijangka menelan kos lebih AS$1 trilion (RM4.5 trilion).

Beliau berkata, jumlah yang besar diperlukan kerana kemudahan seperti masjid, sekolah, hospital dan rumah telah musnah.

Jepun telah mengundang Malaysia untuk menjadi pengerusi bersama CEAPAD, memfokuskan pada pembangunan semula Gaza.

Perjanjian gencatan senjata tiga fasa yang diusahakan Mesir, Amerika Syarikat dan Qatar, berkuat kuasa pada 19 Januari lalu dan menyasarkan untuk menamatkan konflik 15 bulan di Gaza.

Anda Mungkin Berminat