Mereka pasti suka tinggalkan Gaza – Trump

WASHINGTON: Rakyat Palestin akan ‘setuju’ meninggalkan Gaza dan berpindah ke tempat lain sekiranya diberikan pilihan, kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu.

Beliau percaya ia pilihan yang memudahkan mangsa-mangsa terlibat bagi memulakan hidup baru, memetik AFP.

“Mereka pasti suka meninggalkan Gaza. Saya rasa mereka akan berasa sangat gembira.

“Saya tidak tahu bagaimana mereka boleh tinggal di sana. Ia adalah tapak kemusnahan,” katanya kepada pemberita semasa menandatangani beberapa inisiatif di White House.

Trump dijadualkan bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bagi membincangkan gencatan senjata dengan Hamas.

Beliau dijangka menggesa sekutunya untuk berpegang pada perjanjian itu, yang sebahagiannya masih belum dimuktamadkan.

Sebelum ini, Trump telah mencadangkan rancangan untuk “membersihkan” Gaza, dengan menggesa rakyat Palestin berpindah ke Mesir atau Jordan.

Bagaimanapun, kedua-dua negara itu dengan tegas menolak cadangan tersebut.

Trump kemudiannya menegaskan kemungkinan dapat mencari kawasan tanah yang sesuai bagi membina tempat untuk rakyat Palestin tinggal berbanding kembali ke Gaza yang menjadi kawasan bencana selama beberapa dekad.

Hal itu susulan lebih daripada 15 bulan Israel, melancarkan serangan besar ke atas wilayah itu sebagai tindak balas terhadap serangan yang dilakukan oleh kumpulan pejuang Palestin, Hamas.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat