Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Malaysia kini di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI menegaskan pendirian untuk kekal berpihak kepada rakyat Palestin sebagaimana yang diperjuangkan oleh umat Islam di seluruh Asia dan Afrika.
Kenyataan tegas itu dibuat sekali lagi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di pelancaran ‘A Malik Bennabi Reader’ dan Institut Antarabangsa Kajian Masa Depan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hari ini.
Beliau berkata, penindasan yang dilakukan oleh pihak penjajah (Israel) sama sekali tidak dapat dipertahankan dan ia turut disuburkan oleh intelektual, stagnasi politik dan perpecahan sosial.
“Tiada tempat yang lebih jelas menunjukkan kejadian sebenar selain di Palestin, di mana dakwaan penipuan untuk mempertahankan satu-satunya demokrasi di Timur Tengah digunakan sebagai perisai untuk membenarkan peminggiran seluruh bangsa.
“Teknologi ketenteraan moden, sistem pengawasan dan negara birokratik moden telah digunakan untuk tujuan pembunuhan dan penindasan.
“Seperti mana di masa kolonial dahulu, kuasa menyelubungi dirinya dengan bahasa keselamatan dan kestabilan apabila, hakikatnya, ia sedang memperkukuhkan pengusiran dan pembunuhan beramai-ramai.
“Gaza adalah penting. Pendirian Malaysia akan kekal selaras dengan negara-negara Islam lain,” jelasnya.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mencadangkan untuk melaksanakan satu visi mengambil alih Semenanjung Gaza dengan menjadikan wilayah itu sebagai ‘Riviera Timur Tengah’.
Dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Trump mengakui bahawa Riviera Timur Tengah itu sebagai sesuatu yang sangat luar biasa untuk dibangunkan dan mencipta ribuan pekerjaan.
Tambahan pula, Trump juga mengarahkan Jordan, Mesir dan negara-negara Arab lain untuk menerima penduduk Gaza dengan alasan mereka tidak mempunyai pilihan selain meninggalkan wilayah pantai tersebut.
Namun, kali ini, Trump mencadangkan penempatan semula secara kekal, berbanding saranan sebelum ini yang telah ditolak tegas oleh pemimpin-pemimpin Arab.
Baca juga: