Jangan Polemik Cadangan Garis Panduan Majlis Bukan Islam

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Cadangan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat selain Islam masih dalam proses libat urus dan semua pihak diminta tidak mempolemikkan perkara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mohktar berkata, proses libat urus itu termasuk melibatkan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) dan akan diteliti secara komprehensif oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-126.

“Keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI akan diangkat kepada pertimbangan Mesyuarat MKI yang dipengerusikan oleh Sultan Perak.

“Semua pihak diminta tidak menimbulkan salah faham atau mempolemikkan isu ini sehingga menimbulkan keresahan awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Naim berkata, tujuan garis panduan itu dibangunkan adalah untuk memastikan penganjuran aktiviti berorientasikan keagamaan dilaksanakan secara tertib seterusnya menjadi salah satu wadah berkesan ke arah pengukuhan keharmonian negara.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Mohd Na’im memaklumkan bahawa satu garis panduan baharu akan diperkenalkan merangkumi penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.

“Garis panduan itu dibangunkan bagi menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk berbilang agama di Malaysia.

“Menerusi garis panduan yang sedang dibangunkan itu, orang Islam akan dapat menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, garis panduan berkenaan adalah bersifat nasihat dan setelah dimuktamadkan nanti, ia akan memandu dan merancakkan usaha kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan dan membina sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat, tanpa berasa bimbang atau salah faham daripada perspektif agama Islam.

“Ia secara langsung memastikan penganjuran dan penglibatan orang Islam dalam aktiviti-aktiviti tersebut tidak akan mencetuskan kontroversi atau menyentuh sensitiviti antara penganut agama,” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat