Khutbah Jumaat seru umat Islam solidariti pembangunan Gaza

PETALING JAYA: Umat Islam dianjur dan digalakkan untuk turut sama bersolidariti menerusi program pembangunan Gaza, Palestin ketika ini.

Menerusi khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini, penyertaan program itu merupakan satu bentuk penterjemahan semangat persaudaraan dan kesatuan ummah Islamiyah.

“Sebagai sebuah keluarga besar ummah Islamiyah, kita mesti mengambil tahu dan meningkatkan rasa peduli terhadap perkembangan dan situasi yang terjadi dalam kehidupan umat Islam di seluruh dunia, khususnya permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam di Gaza mutakhir ini.

“Inilah tanggungjawab kita sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang Muslim ialah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat.” (Hadith riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim),” menurut khutbah.

Pada masa sama, khutbah turut memanjatkan rasa syukur apabila Malaysia sejak dahulu antara negara yang konsisten dan terkedepan dalam usaha membela nasib dan perjuangan rakyat Palestin.

Sejajar dengan semangat persaudaraan ummah dan tanggungjawab kemanusiaan sejagat, katanya, kerajaan telah mengumumkan hasrat dan komitmen untuk bekerjasama dengan Jepun serta negara lain dalam inisiatif pembangunan semula Gaza.

“Pada peringkat awal ini, kerajaan berhasrat untuk menyumbang bagi pembinaan sekolah, hospital dan masjid di Gaza. Menerusi sumbangan ini, ia diharapkan akan dapat membantu mengatasi beban dan krisis kemanusiaan yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin ini.

“Program bantuan bagi pembangunan sekolah, hospital dan masjid ini memerlukan penglibatan dan sokongan dari seluruh rakyat Malaysia termasuk agensi kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pula telah menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menyelaraskan secara teratur dan bertanggungjawab sumbangan oleh umat Islam di negara ini demi menjayakan aspirasi kerajaan menerusi program yang amat mulia ini,” katanya.

Terdahulu, kerajaan bersama Kementerian Luar telah mendapat kepastian untuk menyegerakan pelaksanaan program pembangunan semula Gaza, Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, usaha bersama kerajaan Jepun untuk menubuh dan melancarkan dana melalui kegiatan Asia Timur membangunkan Gaza termasuk dengan pembinaan infrastruktur termasuk sekolah, rumah sakit dan masjid.

Anwar berkata, usaha itu akan dilakukan dengan kolaborasi bersama rakyat dan sektor swasta.

Sementara itu, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) pada 28 Januari lalu memaklumkan, sebanyak 69 peratus struktur bangunan di seluruh Gaza telah musnah.

Dalam aspek pendidikan, sebanyak 88 peratus iaitu 496 daripada 564 buah sekolah dan 51 buah universiti di Gaza musnah, serta memerlukan pembinaan semula sepenuhnya atau pemulihan besar.

Bagi sektor kesihatan, sebanyak 50 peratus iaitu 18 daripada 36 buah hospital di Gaza hanya dapat berfungsi sebahagian, manakala 11 buah hospital lapangan berfungsi, termasuk lapan secara penuh dan 49 sebahagian.

Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin pula melaporkan bahawa, sebanyak 815 buah masjid di Gaza telah musnah sepenuhnya dan 151 buah rosak sebahagiannya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat