Anwar, Perdana Menteri Qatar bincang perkembangan terkini Gaza

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon dari Menteri Luar Qatar, Tuan Yang Terutama Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani, lewat malam tadi.

Perbualan tersebut tertumpu kepada situasi terkini di Gaza terutama mengenai pelanggaran syarat gencatan senjata oleh rejim Zionis Israel yang dilihat sebagai usaha untuk melengahkan proses perdamaian.

Dalam perbualan tersebut, Anwar menyatakan penghargaan atas usaha gigih TYT Sheikh Mohammed dalam mencari jalan untuk menghentikan kekejaman ke atas penduduk Gaza serta mencapai perdamaian yang berkekalan.

Anwar turut menegaskan komitmen berterusan Malaysia dalam menyokong setiap inisiatif untuk membantu Gaza.

“Malaysia tetap teguh mendokong setiap inisiatif termasuk memberi bantuan kemanusiaan di samping menamatkan penjajahan dan pendudukan Israel di bumi Gaza,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Anwar, perbincangan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan sokongan antarabangsa terhadap Gaza tetap kuat dan berkesan.

Anda Mungkin Berminat