Patriotisme pudar, Jalur Gemilang tidak lagi dihormati – Syerleena

Oleh Haikal Tajuddin

PARLIMEN: Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid melahirkan rasa kecewa apabila mendapati terdapat segelintir masyarakat kini tidak lagi memiliki perasaan hormat terhadap bendera Malaysia.

Beliau berkata, bendera Malaysia adalah identiti utama negara, namun tidak dipelihara dan sering kali diabaikan.

“Saya berdiri di sini bukan hanya sebagai seorang wakil rakyat, tetapi sebagai seorang rakyat Malaysia yang kecewa.

“Kecewa dengan apa yang terjadi, kecewa dengan apa yang telah kita biarkan berlaku kepada maruah negara dan juga hipokrasi dalam soal patriotisme.

“Kita sering bercakap tentang cinta Malaysia, tetapi apabila berjalan di jalan raya dan sebagainya, apa yang kita lihat adalah jalur gemilang yang pudar, koyak dan dibiarkan lusuh.

“Kita melihat bendera kotor yang lama lusuh masih dikibarkan di luar bangunan sekolah, bangunan kerajaan, malah pada tiang bendera di hadapan pejabat rasmi sendiri,” luahnya ketika sesi Dewan Rakyat, semalam.

Terpalit dengan isu kibar bendera China yang berlaku di Teluk Intan tahun lalu, beliau mendakwa masyarakat pada ketika itu seolah-olah marah dengan tindakan tersebut.

Namun begitu, katanya, diakui tidak sama sekali menegakkan semangat patriotisme terhadap bendera negara sendiri.

Tambahannya, bendera Malaysia yang dikibarkan itu akan dijaga sebaiknya apabila ingin menyambut sambutan yang istimewa sahaja.

“Patriotisme bukan sekadar berdiri tegak apabila lagu Negaraku dimainkan, ia bukan hanya menyambut merdeka, mahupun hari Malaysia setahun sekali.

“Ia juga bukan sekadar melaung ‘saya anak Malaysia’ di media sosial. Malah, ia adalah tentang hormat, bermula bagaimana kita menjaga jalur gemilang kita sendiri,” katanya.

Anda Mungkin Berminat