PETALING JAYA: Video memaparkan seorang wanita warga emas terbaring kesakitan di atas bangku konkrit di Kota Marudu, dekat Kudat, Sabah kini berlegar-legar di media sosial.
Video tersebut turut menampilkan suara seorang lelaki yang mendakwa Hospital Kota Marudu enggan merawat wanita berkenaan, dengan alasan hanya pesakit yang mempunyai janji temu akan diberikan rawatan.
Menurutnya, wanita itu berada dalam keadaan kritikal, sekali gus menimbulkan rasa kecewa terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan hospital.
Kejadian tersebut seterusnya mencetuskan kebimbangan orang ramai berhubung kecekapan perkhidmatan kesihatan di negara ini.
Mengulas mengenai perkara itu, Ahli Parlimen Kota Marudu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda menegaskan bahawa hospital telah mengikut SOP yang ditetapkan.
“Menurut pengarah hospital, pesakit warga emas tersebut berjumpa pembantu perubatan tetapi masih perlu berunding dengan doktor,” katanya seperti dilapor The Star.
Jelasnya, wanita itu juga diminta untuk mengambil nombor giliran dan menunggu gilirannya, namun anak-anaknya yang mungkin tidak mengetahui prosedur tersebut, memilih untuk membawanya ke klinik swasta.
“Secara adilnya, Hospital Kota Marudu berdepan kekurangan doktor. Saya akan mendesak Kementerian Kesihatan(KKM) untuk menambah bilangan petugas perubatan bagi mempercepatkan rawatan pesakit luar dan kes kecemasan,” kata Wetrom sambil mengakui tekanan yang dihadapi sistem kesihatan daerah itu.
Beliau turut menyatakan bahawa isu tersebut akan dibangkitkan dalam ucapan perbahasannya di Parlimen minggu depan.
Sementara itu, Menteri Pembantu Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga ADUN Tandek, Datuk Hendrus Anding menjelaskan bahawa, kejadian tersebut bukan perkara baharu namun telah berulang kali dikongsi dalam talian.
“Kejadian itu berlaku kira-kira dua minggu lalu dan telah pun diselesaikan. Namun, video itu terus disebarkan. Saya dimaklumkan bahawa anak-anak wanita berkenaan juga meminta agar ia tidak lagi dikongsi.
“Saya menggesa netizen supaya menghentikan penyebaran video tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.