PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara rasmi mengumumkan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sebagai Presiden baharu badan induk itu bagi penggal 2025-2029.
Pelantikan Mohd Joehari itu dibuat selepas beliau menang tanpa bertanding apabila menjadi calon tunggal untuk jawatan tersebut ketika Kongres Pemilihan FAM pada Sabtu.
Mohd Joehari yang sebelum ini merupakan Naib Presiden menjadi individu pertama dari Sabah memikul tanggungjawab berkenaan.
Beliau menggantikan tempat Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan yang disandang sejak tahun 2018.
Disember tahun lalu, Hamidin mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam kongres badan induk itu.
Menurut Hamidin, keputusan itu diambil bagi memberi ruang kepada ahli gabungan FAM untuk memilih presiden yang baharu.
Untuk rekod, Hamidin dipilih menjadi Presiden FAM ketujuh bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tunku Mahkota Ismail, sebelum beliau menang tanpa bertanding pada kongres pemilihan bagi penggal 2021-2025.
Sementara itu, dua Timbalan Presiden iaitu Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram mempertahankan jawatan masing-masing setelah turut menang tanpa bertanding.
Jawatan Naib Presiden pula menyaksikan legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh berjaya mengisi salah satu daripada empat jawatan berkenaan.
Dollah memperoleh 16 undian dalam persaingan lima penjuru itu.
Tiga lagi kerusi naib presiden diisi Datuk Seri Rosmadi Ismail yang mendapat 17 undi, N Saaran (13 undi) dan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (17 undi).
Seorang lagi calon iaitu Syed Yazid Syed Omar pula hanya memperoleh sembilan undi.
Selain itu, seorang lagi legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan turut terpilih mengisi barisan kepimpinan baharu FAM.
Beliau memperoleh 18 undi sekali gus jumlah undian tertinggi dalam kalangan 14 calon, untuk mengisi salah satu daripada lapan kerusi ahli jawatankuasa eksekutif (EXCO) FAM.