PETALING JAYA: Polis mengesahkan tiga pengunjung konsert Pinkfish yang maut pada 31 Disember lalu adalah akibat pengambilan jenis perangsang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia berdasarkan laporan patologi diterima dan masih menunggu laporan seorang lagi mangsa maut untuk melengkapkan siasatan.
“Laporan patologi mengesahkan punca kematian mangsa terbabit adalah ‘stimulant drugs intoxication’.
“Seorang lagi mangsa masih berada di hospital dalam keadaan stabil tetapi memerlukan pemantauan rapi.
“Siasatan masih diteruskan dan akan dirujuk ke koroner setelah siasatan lengkap,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, katannya, setakat ini seramai 53 orang saksi telah dirakam percakapan.
Terdahulu, polis sedang menyiasat kematian empat individu selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu di Bandar Sunway.
Hussein dilaporkan berkata, pihaknya menerima empat laporan polis daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkaitan kematian dua lelaki dan dua wanita.
Beliau dilaporkan berkata, bedah siasat selesai dijalankan dan punca kematian masih menunggu siasatan makmal.
Katanya, pemeriksaan ke atas semua individu berkenaan tidak menemui sebarang kecederaan luaran.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) namun siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau unsur keracunan.
Baca juga: