Sindiket seludup mercun dan bunga api tumpas

PETALING JAYA: Lebih RM45 juta barangan seludup, termasuk mercun, bunga api tanpa permit serta rokok tidak berkastam, berjaya dirampas dalam dua operasi berasingan di Selangor.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim, berkata serbuan pertama menerusi Op Taring Charlie di Kapar, Klang, Rabu lalu membawa kepada penemuan pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa permit yang dianggarkan bernilai lebih RM32,000.

“Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun, dipercayai individu bertanggungjawab ke atas premis terbabit, telah ditahan.

“Antara barangan yang dirampas termasuk 25,480 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis, sebuah kontena bersaiz 40 kaki serta sebuah lori tiga tan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sementara itu, Op Taring Alpha di Bukit Sentosa, Rawang, hari ini pula menyaksikan rampasan rokok tidak berkastam bernilai lebih RM12 juta. Seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis dan penghantar barangan turut diberkas.

Menurut Datuk Seri Azmi, serbuan itu menyaksikan pihak berkuasa merampas 27,100 karton rokok putih dan 4,560 karton rokok kretek pelbagai jenama selain sebuah van. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Beliau turut memaklumkan bahawa sejak awal tahun ini, KDNKA melalui Biro Jenayah Hidupan Liar dan Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) telah menjalankan 69 serbuan di seluruh negara, mengakibatkan penahanan 107 individu atas pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan yang dikesan termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar serta operasi e-waste.

“Setakat ini, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM370 juta,” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat