Lesen Era FM tidak digantung tapi dikompaun RM250,000 – MCMC

PETALING JAYA: Lesen penyiaran Maestra Broadcast Sdn Bhd, pengendali stesen radio Era FM tidak akan digantung, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurut MCMCM, keputusan itu dibuat selepas meneliti rayuan syarikat berkenaan terhadap notis niat penggantungan lesen yang dikeluarkan pada 7 Mac lalu.

“Dalam membuat keputusan tersebut, pertimbangan juga telah diberikan terhadap tindakan-tindakan susulan yang telah dilaksanakan oleh syarikat pemegang lesen, permohonan maaf oleh pihak terbabit, serta kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama.

“Walau bagaimanapun, Maestra Broadcast Sdn Bhd telah dikenakan kompaun sebanyak RM250,000, bagi kesalahan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025), iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.

“Kompaun tersebut dikeluarkan selepas menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara,” kata kenyataan itu pada Selasa.

MCMC menambah, pihaknya memandang serius sebarang tindakan memuat naik kandungan dalam talian yang boleh mengakibatkan ketegangan antara agama atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Semua pengendali dan pengguna platform diingatkan untuk sentiasa bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian kaum dan agama di Malaysia serta mematuhi undang-undang negara,” kata MCMC.

Terdahulu, MCMC mengeluarkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada Astro Audio, pengendali stesen radio Era FM, susulan penyebaran video tular memaparkan penyampainya mempersenda upacara agama Hindu.

MCMC berkata, pemegang lesen diberi tempoh selama 30 hari untuk memberikan maklum balas terhadap notis tersebut sebelum pihaknya membuat sebarang keputusan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat