KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025, seperti diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet hari ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, diskaun tersebut akan bermula pada 28 Mac 2025 (Jumaat) jam 12.01 tengah malam dan berakhir pada 29 Mac 2025 (Sabtu) jam 11.59 malam.
Menurutnya, kerajaan akan menanggung kos pampasan sebanyak RM19.69 juta kepada syarikat konsesi tol yang terlibat sebagai sebahagian daripada inisiatif meringankan beban rakyat.
“Diskaun tol ini merupakan kesinambungan bantuan tol musim perayaan yang telah diberikan sejak 2023 bagi empat perayaan utama di Semenanjung. Ia juga selaras dengan prinsip Kesejahteraan dan Ihsan di bawah Kerajaan Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Diskaun ini hanya terpakai bagi kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol, kecuali Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Kerajaan turut menasihatkan pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan dengan baik bagi mengelakkan kesesakan sepanjang cuti perayaan Aidilfitri.