Tarif AS: Malaysia tidak akan alami kemelesetan ekonomi – PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi susulan tarif sebanyak 24 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).

Menurut beliau, walaupun unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2025 antara 4.5 hingga 5.5 peratus mungkin perlu dikaji semula, kerajaan yakin ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan.

“Buat masa ini, izinkan saya meyakinkan anda bahawa kerajaan tidak menjangkakan berlakunya kemelesetan ekonomi.

“Asas makroekonomi kita kekal kukuh termasuk perbelanjaan isi rumah yang stabil, pelaburan domestik yang memberangsangkan, hasil pelancongan yang sihat serta pelaksanaan pelan induk nasional yang berterusan,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook malam ini.

Anwar turut menegaskan bahawa struktur perdagangan Malaysia disokong oleh rangkaian kerjasama serantau dan global yang luas, termasuk melalui ASEAN, Perjanjian CPTPP, RCEP serta rundingan yang sedang berjalan dengan Kesatuan Eropah dan pengukuhan hubungan dengan negara-negara Selatan Global.

Sebagai langkah segera, kata Anwar, kerajaan telah menubuhkan Pusat Pemerintah Geoekonomi Negara (NGCC) yang dipengerusikan sendiri oleh beliau bagi memantau dan merangka strategi berdepan impak tarif tersebut.

Dalam pada itu, jelas Anwar, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan membentangkan kajian menyeluruh mengenai kesan tarif terhadap pelbagai sektor eksport ke AS pada minggu depan.

“Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, turut dijadualkan mengadakan mesyuarat secara maya bersama semua Menteri Ekonomi ASEAN untuk membincangkan respons serantau yang bersatu.

“Kajian impak menyeluruh akan dilaksanakan ke atas sektor-sektor paling terjejas untuk merangka bentuk sokongan yang sesuai dan berkesan.

“Semua pilihan akan dikaji dan dipertimbangkan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan sektor perniagaan negara,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan akan terus berusaha untuk menangani dan mengurangkan impak daripada tarif tersebut.

“Yakinlah, kerajaan MADANI akan terus mengutamakan kepentingan Malaysia, rakyat kita, perniagaan dan pengeksport kita,” ujarnya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat