Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Jangan hanya menunding jari kepada pelajar atau guru apabila sesuatu kes buli itu berlaku, kerana ibu bapa dan masalah di rumah juga antara faktor utama membiaknya perilaku buli ke asrama dan sekolah.
Itu antara lontaran yang diberikan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di Facebooknya hari ini bagi mengulas mengenai insiden buli melibatkan tujuh pelajar lelaki di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) baru-baru ini.

“Pendidikan seharusnya bermula di rumah.
“la bukan soal mengajar anak mengenai ilmu pengetahuan semata-mata tetapi yang paling asas adalah penyemaian adab dan akhlak pekerti yang luhur,” katanya.
Ujar Asyraf Wajdi, buat umat Islam menjadikan aqidah sebagai asas merupakan perkara paling utama dalam membentuk keperibadian anak-anak sejak mereka lahir lagi.
“Bagi orang Islam pula, memasakkan asas Aqidah paling utama selain Akhlak. Sebab itulah, keperibadian anak-anak amat tergantung kepada didikan awal mereka sejak dilahirkan lagi.
“Malah anak-anak adalah cerminan ibubapanya,” ujarnya.
Oleh itu tegasnya, ibu bapa tidak wajar mempunyai sikap ‘menswastakan’ sepenuhnya pendidikan anak-anak kepada pihak ketiga atau penjaga di rumah kerana mereka hanyalah pembantu kepada ibu bapa.
Asyraf berkata, penjelasan yang dibuatnya itu sepenuhnya berdasarkan rujukan daripada sebuah hadis Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah.
“Tidak ada seorang manusia yang terlahir kecuali dia dilahirkan atas fitrah (kesucian seperti kain putih). Maka kedua ibu bapa hanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani, ataupun Majusi.” petiknya.
Sebelum ini, tular sebuah rakaman video berdurasi 1 minit 31 saat yang menunjukkan insiden buli yang membabitkan tujuh pelajar lelaki di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Video tersebut memaparkan seorang pelajar dalam keadaan tertiarap di atas katil, dihempap kepala dan badannya oleh sekumpulan pelajar lain, selain disebat dengan tali pinggang di bahagian punggung.
Siasatan dalaman sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terbukti ia merupakan perbuatan buli.
Baca juga: