PETALING JAYA: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor mengambil tindakan ke atas sebuah tapak pembinaan di Antara Gapi, Rawang susulan kematian pekerja warga asing.
Pekerja itu meninggal dunia akibat dihempap lori yang dipandu untuk memunggah tanah telah terbalik pada 6 April lalu.
Dalam kenyataan dikeluarkan, JKKP Selangor berkata, pihaknya telah menerima maklumat berkaitan kemalangan tersebut pada 7 April dan mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan pada 8 April.
Susulan itu, notis larangan dikeluarkan atas kegagalan mengadakan prosedur kerja dan lantikan banksman bagi kerja tambakan tanah.
“Siasatan awal yang dijalankan mendapati bahawa mangsa adalah seorang pekerja subkontraktor bagi kerja-kerja korekan dan tambakan tanah.
“Kemalangan berlaku sewaktu mangsa sedang mengangkat bucket lori untuk menuang tanah dan sebahagian tanah telah melekat pada dinding bucket lori menyebabkan lori tanah tersebut tidak seimbang.
“Mangsa disyaki telah terjun ke sebelah kanan lori sebelum lori tersebut menghempap bahagian belakang mangsa dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
JKKP berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca-punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.
Tambahnya, majikan bakal berdepan tindakan perundangan sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja,” katanya.
Baca juga: