PETALING JAYA: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setuju memperuntukkan RM200 juta untuk menambah baik capaian internet di semua Institut Pendidikan MARA (IPMA).
“MCMC setuju sediakan dana untuk menyelesaikan semua masalah internet di semua institusi pendidikan MARA berjumlah RM150 juta.
“Tetapi, pada saya tidak cukup, jadi saya minta ia ditambah lagi RM50 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM200 juta bagi selesaikan masalah internet di kampus (MARA),” katanya ketika berucap pada Majlis Amazing Syawal Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) pada Khamis.
Majlis disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Awang; Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Naib Canselor UPTM, Prof Madya Dr Sharifah Syahirah Sy Sheikh serta Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Dalam majlis itu juga, MCMC memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi meningkatkan kualiti capaian Internet di IPMA.
Menurut kenyataan MCMC, kerjasama ini merangkumi institusi seperti MRSM, Institut Kemahiran MARA, Kolej Profesional MARA, GIATMARA dan Universiti Kuala Lumpur.
“Inisiatif ini bertujuan memudahkan pembelajaran pelajar MARA, meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan memperkukuh capaian jalur lebar termasuk di kawasan liputan rendah.
“Ia turut melibatkan pelaksanaan Kempen Internet Selamat, pembangunan keusahawanan berasaskan ICT dan e-dagang serta penyelidikan dalam keselamatan siber,” kata MCMC.
Sebagai permulaan, MCMC telah memasang stesen pemancar sementara di Kolej Profesional MARA Ayer Molek dan akan membina menara tetap bagi liputan menyeluruh.
Kerjasama ini dijangka memperkasa infrastruktur digital MARA dan melahirkan modal insan digital yang celik siber, berkemahiran tinggi dan bersedia menyokong keperluan industri digital negara.
Baca juga: