PETALING JAYA: Seramai 87 keluarga mangsa insiden kebakaran gas di Putra Heights telah mendaftar untuk penempatan sementara melalui platform Airbnb.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, masih terdapat 16 keluarga lagi yang memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri sebelum membuat keputusan berhubung penempatan sementara.
“Saya mengalakkan keluarga yang belum untuk mendaftar dalam masa terdekat kerana lebih selesa untuk menduduki rumah sewa.
“Airbnb yang ditawarkan percuma selama sebulan sementara perumahan kekal dapat dikenal pasti oleh penduduk,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam kenyataan sama, Amirudin memaklumkan sebanyak RM500 telah disumbangkan kepada 265 pelajar yang terkesan akibat insiden itu.
Peruntukan sebanyak RM132,500 itu diagihkan kepada semua pelajar secara terus ataupun melalui ibu bapa oleh Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI.
“Tambahan itu, Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi turut menyumbangkan sebanyak 100 tablet dan powerbank serta 75 komputer riba kepada 38 pelajar sekolah dan 37 mahasiswa.
“Baki unit komputer riba akan diserahkan kepada pelajar dalam masa terdekat dan 37 mahasiswa juga diberikan baucar buku bernilai RM200,” katanya.
Tambah Amirudin, kerja-kerja pembersihan besar-besaran akan dijalankan selama dua hari bermula esok dengan penyertaan pelbagai agensi teknikal, pihak berkuasa tempatan dan pasukan sukarelawan.
Selain itu, tiada mesyuarat Jawatankuasa Bencana atau sidang media harian akan diadakan sepanjang dua hari tersebut bagi memberi laluan kepada operasi pembersihan sepenuhnya.
Baca juga: